Tempat-Tempat Pelancongan Sekitar Segamat
Air Terjun Sg Bantang
Hutan lipur ini mula dijumpai pada tahun 1989 dan dimajukan dengan pesatnya pada tahun 1990. Kawasan ini terletak di dalam Hutan Simpan Labis dan berada di kompartmen 17, seluas 210.93ha dan kompartmen 18, seluas 156.28ha. Jarak antara Air terjun Sungai Bantang dengan Bandar Segamat, lebih kurang 64 km dan 8 km dari pekan Bekok. Tema “Destinasi Rekreasi Luar Anda” telah diperkenalkan oleh jabatan Hutan Daerah Segamat bagi tujuan perkhemahan dan perkelahan. Pelbagai aktiviti dapat dijalankan, antaranya ialah merentas huatan “jungle tracking”, perkhemahan dan perkelahan. Tempat ini juga sesuai untuk aktiviti beriadah kekeluargaan, bersama rakan-rakan mahupun bersama persatuan-persatuan anjuran.
Pusat Rekreasi Air Panas

Pekan Air Panas merupakan sebuah pekan kecil dalam Daerah Segamat. Pekan ini terkenal dan mendapat nama sempena air panas yang terdapat di sini. Terletak kira-kira 14 kilometer dari Pekan Labis melalui jalan raya persekutuan. Selain itu, pekan ini juga dikenali sebagai Tenang. Pekan ini diduduki oleh pelbagai kaum yang mana sebilangannya ialah kaum Cina yang menjalankan perniagaan di pekan kecil tersebut iaitu Pekan Air Panas serta didiami oleh sebilangan orang Melayu dan orang Asli di kampung-kampung yang berhampiran. Malah, di sini juga terdapat beberapa perkampungan orang Asli seperti Bekok, serta Empangan Juaseh serta terdapat dusun-dusun buah mata kucing yang banyak.
Air Terjun Gunung Ledang

Air Terjun Gunung Ledang merupakan sebuah kawasan rekreasi yang sesuai untuk semua golongan. Kawasan riadah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan insfrastruktur termasuk tempat penginapan. Di kawasan peliharaan ini, para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, meredah hutan, mendaki gunung, mandi-manda, “bird watching”, seminar dan kem motivasi. Di samping menjalankan aktiviti, para pengunjung juga berkesempatan melihat pelbagai jenis dan spesis flora dan fauna antaranya orkid hutan dan periuk api hutan yang pastinya cantik dan menarik yang sangat mendamaikan pengunjung-pengunjungnya.
